Thursday, November 3, 2011

Kasih tak sampai

Kepada kesayangan hati,

Awak tahu, tak pernah terlintas dalam fikiran saya  yang kita berdua boleh bersama. Kita ini ibarat langit dengan bumi, umpama hitam dengan putih. Betapa berbezanya kita berdua bukan.Mulanya kita berdua hanyalah sekadar pekerja-supervisor. Saya jadi 'intern' baru di tempat kerja awak. Hari pertama saya masuk kerja saya ingat lagi, awak tegur saya sepatah dua saja. Sombong betul. Menyampah dibuatnya.

Masuk minggu pertama kerja, awak dah jerkah-jerkah saya. Marah itu ini. Awak membebel dan mengomel bila saya tersilap buat task yang diberi. Bukannya saya sengaja buat salah. Tapi memang satu apa pun saya tak tahu nak buat. Awak fikir saya ni ilmu tahap budak masters ke? Padahal degree pun tak habis lagi. Saya tahulah awak tu senior progammer kan? Huh~

Satu malam itu, saya diamanahkan membuat system baru. Saya online daripada rumah. Awak monitor daripada tempat awak. Saya tersilap buat kerja waktu itu. Tiba-tiba, awak sms saya. Marah-marah. Daripada tulis dalam huruf biasa, terus awak tekan capslock semua huruf. Saya bukan main takut lagi waktu itu. Sms bertalu-talu tiba sampai saya takut nak lihat screen handphone. Awak call dua tiga kali , saya tak angkat. Penghujungnya, saya jawab juga. Saya iyakan saja apa yang awak katakan waktu tu. Padahal dalam hati  dah tak dapat nak tanggung sebak. Saya takut tahu tak? Awak kata, awak akan handle semua. Tapi, dalam pada saya menahan sendu, tak semena-mena terdengar esak tangis dihujung talian. Ya Ampun, saya terkantoi yang saya menangis waktu itu.

Terus awak pujuk saya. Saya diam saja.Sepatah ayat pun tak keluar melainkan esak tangis di hujung talian. Talian ditamatkan. Sumpah, malam itu saya tak lena tidur gara-gara takut amat sebab saya dah buat salah kan. Pukul 4 pagi itu juga, awak call lagi. Tak sempat nak cakap apa, saya menangis lagi. Haish, saya memang takut tahu tak? Awak pujuk lagi. Esoknya di tempat kerja, saya diam seribu bahasa. Awkward. Setiap kali awak datang dekat pada saya, saya diam saja. Maklumlah, takut saya pada awak tak hilang lagi. Maaflah, saya memang gadis cenggeng. Kuat menangis.

Lama selepas itu, saya jadi lali dengan marah-marah awak. Maklumlah, kerja memang banyak dan kena perfect selalu. Yang saya perasan, sebaik habis awak marah pun, hanyalah bebelan-bebelan yang ringan akan meluncur keluar daripada mulut awak . Awak mengomel itu ini sambil saya tunduk je dengar sebelah awak . Awak memang suka paksa saya dengar 'syarahan' awak sampai terkulat-kulat saya tak tahu nak letak muka dimana. Ingat lagi tak?

Entah macam mana, kita jadi makin rapat kan? Saya suka tanya banyak benda pada awak, dan awak pun yang memang hobinya 'berleter' akan layan saya berborak. Satu hari dalam bulan tiga yang lepas, awak tanya saya "Aku mengorat kau boleh tak?" Nak tersembur keluar air teh o limau yang saya minum waktu itu. Saya terkejut. Lama saya diam. Buat-buat tak tahu. Saya kira awak main-main saja.

Esoknya,  saya kata pada awak "boleh juga" sambil senyum-senyum malu. Macam nak terbakar muka saya menahan malu waktu itu. Sumpah malu. Sejujurnya waktu itu saya tak pasti apa sebenarnya rasa hati saya pada awak. Ya, saya bencikan awak juga sebab selalu marah-marah saya, tapi saya juga sukakan awak. Tapi, suka sebagai seorang teman sahaja. Titik.

Awak ingat lagi macam mana kita ber 'aku' 'engkau' apabila berbicara bertukar perlahan-lahan kepada 'saya' 'awak'. Hampir semua rakan sekerja kita tak sangka, hubungan yang terjalin ini serius. Malah ramai yang membangkang kerana waktu itu, awak sudah mempunyai kasih hati yang awak cinta hampir  4 tahun. Namun, awak terangkan pada saya yang hubungan itu sudah lama putus. Sungguh.

Saya percaya awak. Dan saya mula buka hati saya. Pada awak. Saya belajar untuk sayang manusia lain selain daripada keluarga dan kawan-kawan saya. Dalam hati saya, ada ruang khas untuk awak.Saya mula runtuhkan tembok hati keliling hati, untuk awak. Awak tahu bukan, awak lelaki pertama yang saya kasih.

Tapi, awak mula mengadu tak sihat badan kebelakangan ini. Sampai ada benjolan serupa beguk di bawah tengkuk awak. Saya risau. Saya paksa awak berjumpa pakar, banyak kali juga saya mebebel suruh awak pergi. Akhirnya awak pergi juga. Setelah 3 bulan menunggu proses itu dan ini.

Awak mula bercakap perkara-perkara mengarut sejak itu. Awak juga selalu minta maaf pada saya tanpa saya tahu sebabnya. Saya jadi pelik waktu itu. Awak berubah. Tapi, sayang saya pada awak semakin bertambah. Itu yang saya pasti.

Awak berjumpa dengan ayah saya cuti yang lalu. Sanggup awak menahan debaran di hati untuk berjumpa lelaki kesayangan saya itu untuk beraya. Dalam pada itu, awak turut nyatakan hasrat hati untuk bertunang dengan saya. Ya Allah, terkejut saya dibuatnya. Saya tak sangka awak sampai begitu serius sekali dengan hubungan kita yang baru berusia 6 bulan. Berkasih baru 3 bulan sahaja. Malangnya, ayah membangkang. Ayah  mahukan saya menghabiskan pengajian yang bersisa setahun saja lagi, kemudian barulah boleh fikir mengenai hal ini.

Saya sedih amat waktu itu. Sekali lagi, saya menangis di dalam talian apabila awak mahu memujuk saya. Kan saya sudah katakan awal-awal lagi, saya ini memang gadis cenggeng. Mudah menangis. Tapi, saya tahu niat ayah baik. Dia tidak menghalang hubungan kita, cuma dia mahu saya tumpukan pada pengajian yang bersisa setahun saja lagi ini. Saya akur.

Namun, petang itu awak ceritakan pada saya kisah sebenar yang awak sorokkan. Patutlah awak semakin lain saya perhatikan. Hati-hati sungguh awak nyatakan perkhabaran itu. Ya, serasanya saya tak mampu nak faham apa yang awak katakan waktu itu. Saya buat-buat tak dengar, sambil tahan sendu dalam hati.

"Saya ada cancer, sayang. Tak lama lagi awak boleh lah cari pakwe baru" sambil tersengih-sengih awak katakan itu pada saya.

Sejak itu awak sering sakit-sakit dan saya selalu temankan awak di hospital. Awak semakin lemah selepas pembedahan pertama. Tapi, awak tetap bintang hati No.1 saya. Dan awak juga semakin kacak. Sungguh ni, tak tipu. Sedar tak sedar, saya harus pulang ke kampus di Seberang Laut China Selatan. Jauh bukan? Dan awak di kota Kuala Lumpur, seorang diri.

Sedih hati ni, hanya tuhan yang tahu apabila saya berada beribu batu jauh daripada awak di sana. Saya selalu ingatkan awak untuk makan ubat, kan? Tak pernah saya lupa untuk call awak.

Namun, suatu petang selepas sebulan saya di kampus,saya cuba call awak macam yang selalu saya lakukan sebelum ini. Tapi tiada sahutan kedengaran di sana melainkan suara wanita menjawab panggilan saya. Ya, wanita itu kata talian tidak dapat di hubungi. Saya rasakan sesuatu. Hati saya berdegup laju, peluh dingin mula membasahi dahi tatkala saya cuba mendial nombor yang telah terpahat dalam kotak memori jangka panjang saya.

Saya kira waktu itu, awak tak akan dapat menjawab panggilan saya.Sampai begitu sekali telahan hati ini. Saya redha kiranya ini yang berlaku waktu itu. Sejam kemudian, Amir adik lelaki kesayangan awak menghubungi saya di kampus. Fahamlah saya sudah, memang awak tak akan menyambut lagi panggilan saya itu tadi bukan. Dan sampai bilapun, awak tak akan menyambutnya kerana Allah S.W.T lebih sayangkan awak, sayang.

Waktu itu, saya sedang berjalan ke perpustakaan. Sikit pun saya tidak menangis waktu Amir menyatakan yang awak sudah pergi. Hanya gema Al-Fatihah yang terkumat-kamit saya lagukan dalam hati, buat awak. Selangkah dua saya berjalan, dan sampailah di perpustakaan. Saya duduk di kerusi sambil pandang tingkap. Saya lihat sekeliling dan tanpa disedari, air mata mula membasahi pipi. Tersedu-sedu saya di sana seorang, tanpa ada yang memujuk. Ya, juga tanpa awak yang selalu memujuk saya , kan?

Tanpa mengira kelas yang sedang berlangsung waktu itu, saya serta merta membeli tiket sehala ke Kuala Lumpur, merentas Laut China Selatan. Saya mahu berjumpa awak. Dalam hati, hanya tuhan yang tahu betapa payahnya mata ni mahu lelap. Tiap kali saya tutupkan mata, yang saya lihat hanyalah awak.

Saya pergi ke rumah ayah dan ibu awak, saya sertai majlis tahlil di sana. Ramai kawan-kawan yang hadir. Sayang sungguh mereka pada awak kan. Saat menziarahi kuburan bertanah merah, sedarlah saya bahawa awak memang betul-betul tiada. Sungguh susah untuk saya menahan tangis waktu itu, namun saya kuatkan semangat juga. Tabahkan saya?

Saya peluk erat-erat ibu awak sebelum saya bertolak balik ke kampus. Bila saya lihat ibu, saya nampak awak. Saat saya memeluk ibu, terus-terusan ibu menangis. Saya pula yang harus tenangkan dia. Tapi, awak harus berbangga dengan saya sebab saya tidaklah secenggeng yang dulu.

Sungguh banyak yang ingin disampaikan, banyak lagi perkara yang ingin saya katakan. Namun tak pernah sekali saya  lafazkan yang saya mencintai awak saat kita bersama dulu kan. Dan bila awak pergi , awak dah sedarkan saya betapa cintanya saya pada awak. Awak sepatutnya tahu, there was never anyone else, I only want you all this while. Awak sepatutnya tahu, awak lelaki pertama yang saya cinta dan awak sepatutnya tahu, awaklah perkara terindah yang berlaku dalam hidup saya.Namun, kasih kita tak sampai. Awak jangan risau, saya di sini akan selalu mengenang awak dalam lewat doa saya setiap hari.


Yang Menyayangimu,
Kasih.

 ~~~~

Entri ini dikarang berdasarkan kisah benar. 
Semoga arwah dicucuri rahmatNya.
Al-Fatihah

*Addition note: I'm just a narrator, and this is not my story.*

4 comments:

Dammit said...

:( hope he's fine dekat sana, amin.

Hannah Haykhall said...

Yup,hopefully he's fine there.masa dia dah tiba, masa kita ni tak tentu bila pulak kan...

SpitItOut said...

al-fatihah..

Hannah Haykhall said...

@spitItOut

thanks.semoga dia tenang di sana.