Allah s.w.t itu maha penyayang, sungguh!
Dia tahu saya banyak dosa,
Dia tahu saya belum lagi memohon ampun,
Dia tahu saya takut,
Dia tahu saya menyesal,
Dia tahu saya mahu berubah,
Dia tahu saya jahil,
Dia tahu semuanya tentang saya.
Walaupun saya nakal,
Dia tetap sayang saya,
Saya tahu itu.
Awak mesti pelik, macam mana saya tahu Allah s.w.t sayangkan saya yang nakal ini kan? Yakin betul nampaknya.
Biar saya cerita.
Malam itu seperti biasa, saya tidur nenyak amat. Udara segar penyaman udara membuat malam terasa panjang, sejuk menusuk sambil selimut ditarik erat menutup tubuh.
Malangnya, tidur saya itu diganggu oleh mimpi buruk. Saya tersentak dari lena. Peluh dingin terasa-rasa di dahi, pulsa jantung secara tiba berderap laju. Kalimah suci terbit semulajadi dari bibir. Malam lagi kah? Tanya saya dalam hati. Malam masih pekat gelap. Derap jantung masih laju hingga terdengar di cuping telinga. Saya kaku di pembaringan. Mata terkelip-kelip di dalam gelap.
Resah. Sambil bibir laju menuturkan ayatul qursi. Nyata mimipi buruk tadi masih terigau-igau. Seraya saya membuat rasional, Allah s.w.t lebih besar, tiada apa yang perlu ditakutkan. Saya memujuk hati untuk lelap kembali. Bungkam.
Lama juga saya begitu, terkebil-kebil di dalam gelap. Derap jantung kembali bernada biasa, sederhana. Untuk mengatasi ketakutan malam itu, saya fikir berwudu' adalah penyelesaiannya. Moga tidur akan lebih lena dan aman, fikir saya. Usai berwudu' saya mengintai jam di tepi katil. Seminit lagi pukul 4 pagi.
Dalam kesamaran lampu tidur di hujung katil, tanpa berfikir panjang saya membentangkan sejadah. Telekung disarung kemas. Hati berbisik, aku banyak dosa, aku belum lagi memohon ampun dariNya. Entah mana datangnya kuasa bisikan luar biasa. Mata yang mengantuk itu mampu dikalahkan. Allahhuakhbar!
Dalam keheningan pagi itu, saya merasakan adanya kelembutan kasih sayang Allah s.w.t pada saya. Sayu. Perasaan yang sangat indah. Seolah-olah DIA memanggil saya; bertaubatlah wahai diri, masih belum terlambat. Sesungguhnya, hanya kepadaNya lah tempat mengadu.
Saya masih muda. Mati itu tak mengenal usia. Itu suatu fakta yang nyata. Semalam saya terbaca di dada akhbar, dua remaja berusia sebaya saya meninggal dunia. Kemalangan di jalan raya. Allahuakhbar, sempatkah mereka meminta ampun pada Allah? Adakah mereka tahu yang mereka bakal pergi pada saat dan ketika itu? Persoalan itu terfikir-fikir di benak saya. Sehinggalah saya dikejutkanNya pagi ini.
Nyata Allah s.w.t sayangkan saya. Dia mahu saya bertaubat. Dia memberi pengajaran bahawa kematian itu pasti dan masanya telah ditetapkan. Dia menggerakkan saya untuk bangun sujud padanya, segera bertaubat kerana mungkin saja ajal saya bakal tiba.Namun, saya yang nakal ini selalu lalai. Selalu beranggapan yang masa saya masih panjang. Nafsu untuk dunia itu membayangi negeri akhirat, negeri abadi.
Betapa maha baiknya Allah s.w.t dan betapa nakalnya saya. Saya selalu berharap kenakalan saya dapat dikalahkan dengan kasih sayangNya yang tak berbelah bahagi. Dalam lewat doa, pasti saya tak lupa selitkan agar Allah s.w.t sayang saya, si nakal ini. Sebab saya tahu, saya tak mungkin dapat hidup tanpaNya. Tak mungkin.
No comments:
Post a Comment